Sunday, May 27, 2007

AGENDA WAHABI MELALUI TULISAN MAZA

Assalamu'alaikum wrh wbt

Sebagai yang di jangka oleh pengkaji-pengkaji wahabi, agenda MAZA untuk menguasai institusi agama melalui politik sudah pun jelas pada hari ini. (sila rujuk artikel Utusan, Ahad 27 Mei seperti di hujung artikel ini)Maza@wahabi memang hebat, dengan meggunakan satu peluru, dia tembak 2 musuh : Ulama Kerajaan@Mufti BN dan Ulama-ulama PAS. Semua kena tembak!

Siapakah Ulama yang benar di sisi MAZA untuk menjadi Ulama kepada Umara'??
Tentulah beliau sendiri, Husin Yee, Abdullah Yaassin dan Pendakwaraya-pendakwaraya Bid'ah-bid'ah sekelian!

Artikel beliau jelas bersifat menghasut dan mengampu pemerintah Malaysia, agar pemerintah-pemerintah Malaysia perlu mengubah 'Kiblat' kepada golongan-golongan yang kononnya tahu cara menasihati para umara' dan mereka ini sudah tentulah "bebas bid'ah", iaitu Salafi Jadian.
Apa yang lebih penting bagi mereka agar dapat duduk di kerusi-kerusi empuk kerajaan dan seterusnya memulakan proses Menghukum Para Pelaku Bid'ah!

Kita semua boleh berfikir sekiranya mereka berada di tampuk atas, perjuangan menasihati kezaliman pemerintah akan berubah arah. Akhir sekali perjuangan mereka akan tertumpu kepada soal-soal ranting yang tak berkesudahan seperti Qunut, Ushali dan Talqin.

Inilah terjadi kepada Arab Saudi Darul Wahabi yang mengamalkan sikap double standard pada umat islam sedunia. Mereka menghukum Umat Islam yang tak sealiran dengan mereka sebagai Dholalatun (Yang Sesat)! Dalam masa yang sama mereka berlindung di bawah ketiak-ketiak KING (Raja) Saudi yang Korup, Zalim, Pengecut dan lagi Pemalas!

Kegagalan ulama wahabi untuk menjadi penegak keadilan Ummah dapat di lihat dengan jelas apabila Arab saudi di bawah nasihat mereka telah gagal membela nasib umat islam di seluruh dunia dan lebih malang negara Al-Saud Wahabi sendiri telah di cucuk hidung oleh Amerika dan Israel umpama Lembu.

Malahan Ulama Wahabi telah memecah-belahkan penyatuan Ummat Islam dan tiada usaha yang jelas dari mereka untuk menyatupadukan pemikiran dan gerak kerja Islam.
Merekalah bersifat menghukum lebih dari berdakwah!

Mereka 'mimic' ikhwanul muslimin tetapi metodologi dan prinsip perjuangan mereka tersasar dari Ikhwan. Mereka tidak dapat menerima Ushul 20 Imam Syahid Hassan Al-Bana. Kerana bagi mereka sebahagian usul itu penyubur Bid'ah!

Jika dasar perjuangan Ikhwan ialah menegakkan negara daulah Islam bersandarkan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan penyatuan pemikiran Islam tanpa kira Mazhab Fiqh yang di anuti.
Sebaliknya Wahabi mementingkan penyuburan Mazhab Laa Kulli Bid'ah (wahabism) daripada penubuhan sebuah negara Islam Yang Bermaruah.

Method mereka mendekati Umara' memang terkenal dengan menghasut dan berkomplot agar mereka di tempatkan di singgahsana yang selesa.

Di dalam artikel Maza ini, ada beberapa perkara mengelirukan terutamanya Hadith yang di riwayatkan oleh Abu Azim, seperti berikut :

Sabda Nabi: Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm 507).

1. Kita mempersoalkan periwayat hadis yang kurang di kenali ini, Ibn Abi Asim, apakah nilaian hadis ini? Kita tidak mahu Albani yang mentahqiqkan hadis ini. Kerana beliau mempunyai ikatan politik yang kuat dengan kerajaan Bani Saud.
2. Adakah hadis yang kurang di kenali ini manjadi dalil untuk membatalkan segala hujah-hujah ulama yang menyeru agar kezaliman pemerintah di tentang sebijaksana mungkin samada dengan surat, bercakap hadapan, menyedarkan rakyat tentang perkara yang di zalimi dan menjelaskan kezaliman pemerintah ?

Adakah MAZA fikir dengan menggunakan hujan ini, beliau boleh terlepas begitu sahaja sekiranya negeri Perlis Darul Wahabi Celup melakukan kemungkaran? Adakah beliau fikir setelah menasihati Shahidan Kassim, tanggungjawap beliau sudah lepas begitu saja tanpa sebarang tindakan yang susulan yang jitu? Hadis-hadis seperti ini perlu di bincangkan dengan terbuka oleh Ulama-Ulama' dalam forum yang lebih sesuai dan bukan di jadikan peluru untuk membunuh musuh.

Akhir kata, kita doa'kan sikap golongan wahabi@salafi ini berubah menjadi lebih penyantun dalam berdakwah dan tidak bersifat menghasut dan menghukum kepada umat yang tidak sealiran dengan mereka.

Kefahaman Kita : Kita tidak pernah katakan mereka sesat!

Wassalam.
Abu Thalhah

ARTIKEL DARI UTUSAN---------------------------Antara pengampu dan pencercaOleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDINSeseorang pemerintah hendaklah tahu, bahawa bukan semua yang memujinya ikhlas kepadanya. Mungkin pujian itu datang disebabkan takut kepadanya atau habuan yang diharapkan. Maka tidak hairanlah jika ramai pemerintah yang dipuji pada zaman dia berkuasa, dikeji dan dihina pada hari dia kehilangan takhta.
Para pengampu juga akan mencari ‘tempat ampuan’ yang baru. Di samping itu, sesuatu yang pasti bahawa setiap yang mengutuk atau memaki pemerintah secara terbuka, tidak mempunyai keikhlasan terhadap pemerintah. Pemaki atau pencerca sebenarnya sama seperti pengampu. Kedua-duanya mengharapkan habuan. Pemaki mengharapkan dengan makian itu dia diangkat, atau dianggap wira. Lalu habuan akan datang melalui penyokongnya, atau akan ada kerusi yang diberikan kepadanya.
Para ulama tidak boleh menjadi pengampu pemerintah. Dalam masa yang sama, mereka tidak diizinkan syarak menjadi pencerca atau pemaki pemerintah. Mengampu pemerintah dengan menggunakan nas- nas agama menyebabkan pemerintah tersesat jalan dengan merasai sentiasa dirinya betul.
Apa tidaknya golongan agama pengampu ini yang akan menyokong segala-galanya. Tanpa perlu berfikir panjang, kerjanya mencari dalil dan hujah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Segala dalil-dalil syarak diputar agar bersesuaian dengan cita rasa pemerintah.Sikap ini sangat berbeza dengan akhlak pendakwah yang tidak suka melihat manusia melakukan kesalahan dan gembira melihat manusia melakukan kebaikan.
Golongan ulama pengampu mengambil langkah menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemerintah. Mereka biasanya mendapat habuan dunia yang memberangsangkan. Pemerintah mempergunakan golongan ini sebagai alat menghalalkan segala tindakannya. Mereka adalah ulama jahat yang banyak mengorbankan agama dan rakyat. Mereka ini bagaikan lalat yang mencari kesempatan menghurung bangkai yang busuk. Demikian mereka mencari kesalahan pemerintah untuk dikerumuni dan dihalalkan.
Golongan pemaki yang bertopengkan agama pula menjadikan kutukan ke atas pemerintah atau bangkangan terhadap sesebuah kerajaan yang berkuasa sebagai modal cari makan. Mereka juga biasanya mendapat habuan dunia dengan pelbagai aktiviti dan jemputan. Duit orang ramai juga mudah dikumpulkan untuk apa-apa projek atas tiket semangat menentang kerajaan.
Segala dalil syarak dipersembahkan dalam bentuk menyanggahi pemerintah. Kedua-dua golongan ini merosakkan umat dengan kerosakan yang amat besar.
Islam memerintahkan para ulama dan umat sentiasa menasihati pemerintah. Bukan mengampu atau memakinya. Nasihat itu adalah tuntutan agama. Nasihat mungkin datang dengan nada yang lembut. Juga mungkin dengan nada yang tegas.
Namun penasihat sentiasa mengharapkan kebaikan untuk pihak yang dinasihati. Tidak dinamakan nasihat, jika kita memujinya sehingga dia tersasar. Juga tidak dinamakan nasihat jika kita memakinya di khalayak ramai. Daripada Abi Hurairah: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya, (ketiga) kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik 2/169).
*Sedar
Para pemerintah hendaklah sedar bahawa golongan yang mentaati mereka ketika mereka melakukan kemungkaran adalah golongan menjual agama dan tidak jujur terhadap diri dan pemerintah itu sendiri.Daripada Abi Said al-Khudri, daripada Nabi, sabdanya: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).
Al-Bukhari meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik).” (Riwayat al-Bukhari 6/2626).
Benarlah nasihat Syaiban al-Ra’i pernah menasihati Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.” Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).
Maksudnya mereka yang memberi nasihat dengan jujur lebih bermanfaat untuk pemerintah dari mereka yang mengampu yang sebenarnya merosakkan pemerintah. Sabda Nabi: Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga).
Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). (Riwayat Ahmad 14/78, al-Nasai 7/160 dan al-Tirmidhi. Hadis ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337- 339).
Ada pula yang berpendapat bahawa ulama yang tidak berani memaki secara terbuka sebagai ulama pengecut. Namun petunjuk hadis tidak begitu. Sabda Nabi: Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al- Sunah ini (hlm 507).
Orang politik ramai yang mempunyai ego yang tinggi. Jika disebut kesalahan di khalayak ramai, maka kemungkinan dia enggan akur kerana ego politiknya. Jika secara bersendirian, ruang penerimaan itu lebih mudah. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pemerintah mesti terus dinasihati sama ada dia menerima ataupun menolak. Sekiranya dia menerima, maka itu sesuatu yang sangat baik untuk dirinya dan umat. Jika dia menolak, pemberi nasihat telah pun menunaikan tanggungjawabnya. Di samping nasihat juga dapat mengingatkan dia tentang akibat sesuatu perbuatan atau perkara. Sekalipun jika dia tidak terima, dia tetap akan tahu nilai perbuatan di sisi syariat Allah.
*Manfaat
Kata al-‘Adhim al-Abadi: “Kata para ulama: “Tidak gugur dari mukalaf tanggungjawab al-Amr bi al-Makruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar hanya kerana pada sangkaan tidak memberi faedah. Bahkan wajib dia melakukannya kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman.” (Al-‘Adhim al-Abadi, ‘Aun al-Ma’bud, 11/330).
Sabda Nabi: Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil – dalam riwayat yang lain: Yang benar – di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim. (Riwayat al-Nasai 7/161 Abu Daud 4/124, al-Tirmidzi 4/ 471 dan Ibn Majah 2/1329. Al-Diya al-Maqdisi menyatakan sanadnya sahih (Al-Diya al-Maqdisi, Al- Ahadith al-Mukhtarah, 8/110).
Hadis ini selalu disalah fahami untuk membolehkan cercaan terbuka. Jika diteliti hadis ini jelas menunjukkan perkataan yang adil atau benar itu hendaklah dilakukan di hadapan pemerintah yang zalim, bukan di belakangnya. Ini membawa risiko yang paling tinggi dalam berdakwah. Adapun menyatakan kalimat yang benar atau adil di belakang pemerintah, ramai yang mampu melakukannya. Begitu juga mencercanya di belakang.
Kata al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz: “Bukan dari Manhaj al-Salaf (jalan salafussoleh) menghebohkan dan menyebut keburukan pemerintah di atas mimbar. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada porak-peranda dan hilang ketaatan dalam perkara makruf. Ia membawa kekecohan yang memberi mudarat dan tidak bermanfaat. Sebaliknya jalan yang ikuti di sisi golongan salaf: Nasihat antara mereka dengan pemerintah, menulis kepada mereka, atau berhubung dengan ulama yang mempunyai hubungan dengan mereka.” (Al-Qahtani, Fatawa al-Aimmah fi Nawazil al-Mudlihammah, hlm 98).
Kata Dr. Salih bin Fauzan: “Mereka yang paling utama untuk melakukan nasihat kepada para pemerintah ialah ulama, cerdik pandai dan ahli mesyuarat pemerintahan. Firman Allah: (maksudnya) Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada uli al-Amr di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan). (al- Nisa: 83).
Bukan setiap individu layak untuk urusan ini. Bukanlah sama sekali menghebah dan menghebohkan kesalahan itu suatu nasihat. Ia bukan Manhaj al-Salaf al- Salih. Sekalipun maksud pelakunya itu baik iaitu untuk membantah mungkar seperti yang mereka dakwa.
Namun apa yang dia buat lebih mungkar dibandingkan apa yang dia bantah. Sebabnya, boleh jadi membantah mungkar itu juga suatu kemungkaran. Ini sekiranya tidak di atas jalan yang disyariatkan Allah dan Rasul-Nya, maka ia adalah mungkar... (Ibid, hlm 124).
Jika Firaun yang melampaui batas tetap Allah perintahkan Musa dan Harun agar datang menasihatinya dengan cara yang baik, apatah lagi para pemerintah semasa. Firman Allah: (maksudnya) Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (Taha: 43-44).
Aliran seperti inilah yang dipelopori oleh para ulama muktabar sejak zaman dahulu. Dengan itu, kita akan dapati mereka menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah dengan tegas, dalam masa yang sama mereka juga taat tidak menentang secara terbuka, tidak mencerca secara berleluasa dan bekerjasama dalam perkara yang baik.
Sejarah merakamkan watak tegas mereka di hadapan pemerintah, sabar mereka dengan kerenah pemerintah dan kerjasama mereka dalam urusan kebaikan. Walaupun mereka mempunyai kekuatan mengumpulkan rakyat, namun para imam ahli sunah tidak keluar menentang pemerintah secara terbuka. Sekalipun di kalangan mereka ada yang diperlakukan seperti apa yang berlaku kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian juga dalam hal para pemerintah. Makian hanya mengundang keburukan, bukan faedah kepada Islam. Jika mereka dinasihati dengan baik, jelas, tegas dan tidak menggadaikan prinsip agama, pemerintah mungkin akan memikir dan menerimanya. Saya percaya ramai pemerintah dalam banyak keadaan belum mendengar nasihat yang ikhlas, lunak, tegas dan bernas.
Nasihat itu pula disampaikan secara langsung tanpa sebarang kepentingan diri penasihat. Mungkin apa yang banyak pemerintah dengar adalah ucapan para pengampu yang mengampu bukan-bukan. Atau para pencerca yang kegiatan adalah mencerca pemerintah. Atau mungkin juga ada nasihat yang baik, namun apabila ia datang atas nama seteru politik menyebabkan para pemerintah salah sangka dengan nasihat tersebut. Pemerintah umat ini masih tandus dan gersang nasihat-nasihat yang hebat seperti yang pernah diberikan oleh para ulama terbilang di hadapan para pemerintah yang lampau sehingga menitiskan air mata mereka.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Thursday, May 24, 2007

Re : Anwar dan Khairy

Salam Semua,

Alamak ini cerita anwar lwn khairy punya ka?

Bagi saya depa ni kawan rapat dalam selimut tapi berlagak musuh depan orang ramai.Anwar memang kita tahu sungguh korup bila jadi TPM.

Kita masih ingat ingat cerita-cerita Abrar Group dan juak-juak ABIM dia yang bermaharajalela bila si Anwar ini di atas.Ketika itu mereka mendabik dada konon merekalah yang terbaik. Arus KeANWARan yang sangat kuat itu, hingga orang yang tak tahu mengaji pun pura-pura jadi baik sekejap. Habis team-team yang tak sealiran mereka mereka tentang umpama komunis.


Tabiat sombong, bongkak dan lagak mereka seolah-olah mereka itu maksum.Dari segi kekayaan ekonomi negara, habis di bolot untuk juak-juak mereka. Kita juga tidak lupakan kesanggupan Anwar yang menjadi pelobi Politik Wang untuk teamnya dalam UMNO ketika melawan Ghafar Baba dulu.Mungkin semua ini kisah lama. Tapi kisah lama ini masih menjadi kenangan bagi kita supaya berhati-hati dgn beliau dan juak-juaknya.

Namun sebagai orang yang cintakan keadilan, saya tetap tidak setuju cara kes pemecatan dan liwat dia di adili. Banyak yang tidak wajar dilakukan oleh Mahathir.

Setelah era Reformasi berlalu, di ganti pula dengan era ReforMati, kita lihat anwar gagal menerajui gagasan perjuangannya. Perjuangan beliau masih samar-samar dan kadangkala agak kelam. Tidak keterlaluan apa yang di katakan oleh Shaari Sungib ada benarnya "masa untuk anwar sudah berlalu".

Pada hari ni kita memerlukan satu wajah baru untuk memimpin Rakyat menentang kezaliman dan penindasan Paklah@Pakloong.

Kita perlukan Kepimpinan Yang Baru dan Pemimpin Muda Yang Energetik.Bukan KJ sundal malam yang kita harapkan, bukan jugak Nasaruddin Yang Bermercedez, tidak juga Lim Eng Guan yang skeptikal.Kita perlukan seorang yang ikhlas, sederhana hidupnya, rajin orangnya, hikmah dan bijak kata-katanya, serta kuat azam dan fizikalnya untuk memperjuangkan yang hak dan menentang yang batil.

Di sini tiada isu sapa yang menentang Anwar masuk team mahathir, paklah, hadi, kit siang mahupun samy vellu.

Khairy cita-cita besar, kuat azamnya, tapi dah kena gigit dengan haruman sundal malam, habis dia gila meroyan kebelakangan ini. So memang dia ni tak boleh nak pakai sangat. Dia tersalah lorong dulu, pasal tu termasuk sangar Sundal Malam. Dia mungkin terlupa Gigitan Sundal Malam tak kira graduates mana, oxford ka, UM ka, NUS ka? Pasti Semuanya Meroyan!

Wednesday, May 23, 2007

Kenaikan Gaji atau Penyelerasan Gaji Mengikut Kenaikan Harga Petrol?

Assalamua'laikum Wrh. Wbt.

Kepada penyokong kerajaan BN yang sedia ada, tiada apa yang lebih hebat daripada keperwiraan seorang yang bernama Paklah@Pakloong, apabila "menaikkan gaji" para-para penjawat awam.

Di sebalik "kenaikan gaji" ini, rakyat sebenarnya telah merasai beberapa episode keperitan kenaikan harga-harga barang terutamanya Petrol sejak pemerintahan Paklah@Pakloong.
Kenaikan harga petrol dan toll yang terlalu mendadak menyebabkan kemarahanan kepada pemerintahan beliau tidak kira samada dari BN mahupun pembangkang.

Apatah lagi mereka di kejutkan dengan beberapa siri kenaikan harga minyak yang luar biasa dan kenaikan harga Toll yang lebih 60% (walaupun harga minyak kini sudah stabil ke paras yang rendah daripada harga krisis minyak dulu, namun harga tetap di kekalkan malahan kedengaran bakal di naikkan lagi.)

Akibat dari kenaikan harga minyak dan toll ini, ia telah menyebabkan segala harga barangan dan perkhidmatan dalam negara telah meningkat.

Rakya mula merasakan tertipu dengan segala janji manis Paklah@Pakloong dalam Pilihanraya yang lepas. Tiada yang jelas dalam pemerintahan beliau. Rasuah lebih menjadi-menjadi. Kronisme tak perlu pandang jauh, toleh kiri; kamaluddin dan toleh kanan; khairy. Ini sudah cukup membuatkan kita faham.

Islam Hadhari hanya menjadi slogan hipokrit. Anak Paklah@Pakloong, Nuri menjadi orang penting dalam SIS. Mungkin kerana terlalu khuatir Khairy kahwin lari dengan Maya Karin, habis poligami di tentang habis-habisan. Gerakan IFC di bawah Malik Imtiaz yang berjuang menengakkan doktrin Din Ilahi begitu rapat dengan Nuri kebelakangan ini untuk meraih sokongan Paklah@Pakloong sekeluarga.

Dalam kata lain, dasar yang di amalkan oleh Paklah@Pakloong adalah hipokrit, lepas tangan, pemalas, bersantai, berslogan palsu dan tidak serius. Beliau lebih mengharapkan menantu kesayangan, Khairy dapat melakukan sesuatu yang ajaib melalui perdagagan atas angin mereka dengan singapura.

Jika mahathir dulu di awal pemerintahan melaksanakan Dasar Pandangan Ke Timur iaitu Jepun. Tapi Paklah@Pakloong mengamalkan dasar "Jom Masuk ke Mulut Singa". Kini Paklah telah bertukar menjadi Pakloong apabila telah "bersatu" dengan Lee Hsien Loong baru-baru ini di Langkawi.

Kita tidak suka nak berbicara terus mengenai Paklah@Pakloong kerana penyokong BN sendiri sudah cukup maklum akan kelemahan beliau yang memalukan Malaysia dan Umat Islam.
Berbalik kepada kenaikan gaji.

Kita sedia maklum Harga Petrol dan Toll yang telah naik sejak Paklah@Pakloong memerintah, maka tiada harapan yang boleh di sandarkan ia akan turun kembali seperti di awal zaman pemerintahan beliau.

Oleh itu tiada cara lain untuk menutup kelemahan yang ada, lalu Paklah@Pakloong mengumumkan apa yang di panggil sebagai "kenaikkan gaji". Kenaikan gaji ini sebenarnya bukan satu BONUS!!! Ianya hanyalah satu pelarasan gaji berikutan kenaikan harga barang-barang.

Namun jauh dari itu tindakan "menaikkan gaji" ini hanya satu perangkap kepada :
1. Simpati Politik Paklah@Pakloong dalam pilihanraya akan datang

2. Kenaikan harga minyak pada masa akan datang (janji Paklah@Pakloong tiada kenaikan minyak pada 2007 sahaja. 2008 seterusnya bagaimana???)

3. Kenaikan harga Toll yang telah pun di isytihar naik pada tahun hadapan sebanyak 10%

4. Kenaikan harga barang-barang keperluan asas dan perkhidmatan sudah tentu akan naik

5. Kemasukan pelabur-pelabur singapura secara besar-besaran terutama pengambilan syarikat-syarikat GLC tempatan dan mereka di jangka bakal penentu turun naiknya saham di KLSE. Ini kerana kenaikan saham KLSE baru-baru ini adalah akibat dari pelaburan asing dalam KLSE terutamanya dari singapura. Akhirnya berlakulah The Trillion Trade Miracle dan akibat dari Trillion Miracle Trade, ia menjadi faktor utama kepada kebolehan kenaikan gaji. Akibat dari ini kerajaan akan terus bergantung kepada mereka.

6. Perlaksanaan dasar-dasar kewangan yang baru yang mana akhirnya membebankan semula rakyat, yang mana ada kemungkinan caj-caj perkhidmatan awam bakal di naikkan. Tidak terkecuali juga segala bentuk cukai bakal di naikkan juga

7. Penguatkuasaan awam yang tidak munasabah seperti kenaikan bayaran denda dan saman yang melampau bakal di laksanakanDalam kata lain, kerajaan ada 1001 alasan nanti untuk menaikkan apa saja kerana gaji telah pun di naikkan secara besar-besaran.

Tambahan dari itu, "kenaikan gaji" yang hanya melibatkan perkhidmatan awam ini tidak memberi apa-apa kesan kepada pekerja sektor swasta. Malahan kepada 24 juta pekerja swasta akan lebih tertindas dengan kenaikan harga barang awal-awal lagi, yang mana mereka langsung tidak mendapat sebarang pelarasan semula gaji mereka.

Jika di fahami, "kenaikan gaji" 35% kepada kakitangan sokongan bukanlah sesuatu yang ajaib kerana selama ini gaji mereka sudah pun berada di paras kemiskinan. Sudah sepatutnya pun gaji mereka di naikkan ke satu nilai yang lebih tinggi dari paras kemiskinan. Jika tidak golongan ini adalah golongan miskin. Golongan miskin adalah asnaf zakat yang layak. Kepada kakitangan lain, kenaikan ini lebih kepada penyelerasan semula kepada nilaian harga barang yang terus meningkat.

Untuk memendekkan cerita, sebenarnya, apa yang kita mahu kerajaan lakukan adalah penurunan semula harga Petroleum mengikut perkadaran harga minyak dunia semasa. Begitu juga dengan harga toll! Hanya kerajaan yang korup, kurap, zalim dan tidak berhati perut yang akan terus menindas rakyat dengan mengkayakan orang yang telah kaya, iaitu syarikat2 konsesesi Toll yang telah pun meraihkan keuntungan berbillion ringgit setahun.

Dengan penurunan 2 parameter utama ini, harga barangan lain akan turun, dan tiada lagi alasan kenaikan harga barangan. Dan yang lebih utama, "kenaikan gaji" yang di umumkan ini lebih bermakna sebagai kenaikan gaji yang sebenarnya dan bukannya penyelerasan gaji.

Akhir kata, kepada penyokong2 BN, kita memang akui kesantunan bangsa melayu yang mudah memaafkan dan mudah lupakan kisah silam. Oleh itu dengan propaganda kenaikan gaji ini, kita agak yakin, BN akan dapat menguasai kerusi parlimen lebih 5/6.

Tahniah Pak Turut!
Cemar lang, Jembalang, Temberang!

Wassalam
Abu Thalhah